JAKARTA - Sehingga Isnin lepas, sejumlah 111,000 jemaah haji Indonesia telah berada di dua tanah suci di Arab Saudi bagi menunaikan ibadat haji pada musim haji tahun ini.
Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali dilapor berkata sejumlah 100,000 lagi jemaah haji dari republik itu akan menyusul dalam masa terdekat.
Beliau berkata setakat ini juga 10 jemaah haji republik itu telah meninggal dunia iaitu seorang di Makkah dan sembilan di Madinah.
Pada tahun ini hanya 72 peratus jemaah haji Indonesia ditempatkan di maktab haji berjarak dua kilometer dan ke bawah, berbanding 93 peratus pada tahun lalu.
Keadaan itu disebabkan banyak bangunan di sekitar Masjidil Haram di Makkah telah dirobohkan manakala bangunan yang belum dirobohkan pula tidak boleh diduduki kerana sudah tidak ada bekalan elektrik.
Akibat daripada itu kadar sewa bangunan-bangunan di bahagian belakang telah menjadi lebih mahal.
"Alhamdulillah kita tetap berada pada radius maksimum 2.5 km. Sasaran kita ialah 2.5 km paling jauh. Sebelum ini kita menyasarkan 2 km semua, namun ia berat dilaksanakan kerana kadar sewa telah menjadi mahal," katanya. - Bernama - Sinar


0 comments:
Post a Comment