News Update :
Home » » Wanita rugi RM20,000 diperdaya lelaki didakwa polis

Wanita rugi RM20,000 diperdaya lelaki didakwa polis

Written By Admin on Tuesday, July 3, 2012 | 2:37 PM


IPOH 30 Jun - Seorang wanita yang juga pengusaha restoran, kerugian RM20,000 selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis dan berjanji mahu membebaskan abangnya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berhubung satu kes dadah pada 18 Jun lalu.

T. Ranjani, 26, mendakwa, dia diperdaya oleh lelaki itu yang mengaku sebagai 'Inspektor Faiz' yang disyaki turut bersekongkol dengan seorang lagi anggota polis wanita.

Menurut Ranjani, dia bersama adiknya, T. Sathis, 20, diarahkan datang ke IPD Ipoh oleh 'Inspektor Faiz' pada hari sama abangnya ditahan dengan membawa wang jaminan RM20,000 bersama 10 plastik minuman milo ais serta pakaian.

Katanya, sebaik tiba di situ, dia menyerahkan bungkusan minuman serta pakaian tersebut kepada seorang anggota polis wanita.

Katanya, anggota polis itu kemudiannya meminta mereka pergi ke bangunan Public Bank berhampiran Mahkamah Tinggi Ipoh kerana 'Inspektor Faiz' sedang menunggu.

"Apabila sampai di bank, 'Inspektor' itu menghubungi saya dan meminta supaya wang tersebut dimasukkan ke dalam dua akaun bank yang berbeza sebelum mengarahkan kami pergi semula ke balai untuk menunggu perkembangan selanjutnya.

"Peliknya, kedua-dua akaun bank tersebut di bawah nama Subramaniam, bukannya nama pegawai terbabit," katanya yang mengakui tidak pernah bersua muka dengan suspek.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Kawasan Ipoh Barat, di sini hari ini.

Ranjani berkata, dia berada di IPD berkenaan sehingga pukul 5.30 petang, namun tiada sebarang perkembangan sehinggalah anggota polis wanita terbabit menghubungi adiknya dan meminta mereka bersabar kerana abangnya akan dibebaskan tidak lama lagi.

Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pasir Putih pada 24 Jun lalu.

Dia juga ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh untuk membuat laporan dan dimaklumkan kes tersebut merupakan yang keenam melibatkan akaun dan orang yang sama di bandar itu.

Dalam pada itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah berkata, pihaknya akan meminta kerjasama polis dan SPRM bagi menyiasat kes itu kerana ia bukan pertama kali berlaku melibatkan individu yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan. - Utusan Malaysia

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.