News Update :
Home » » 88 mat rempit ditahan terlibat dalam lumba haram

88 mat rempit ditahan terlibat dalam lumba haram

Written By Admin on Tuesday, July 3, 2012 | 2:35 PM


KOTA KINABALU 1 Julai - Seramai 88 individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram dan melakukan kesalahan lalu lintas dalam operasi besar-besaran di sekitar bandar raya ini awal pagi ini.

Operasi bermula pukul 1 pagi di Jalan Kepayan melibatkan seramai 70 anggota dan 14 pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini bertumpu di sekitar pusat bandar raya yang menjadi lokasi lumba haram.

Sepanjang operasi itu, ada di kalangan pelumba haram yang bertindak nekad menunggang secara melulu dan merempuh laluan kereta api untuk melepaskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Supritendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, lima daripada keseluruhan 88 penunggang motosikal yang berusia antara 21 hingga 22 tahun dikesan terlibat dalam lumba haram.

Katanya, seramai 75 penunggang motosikal berumur antara 16 hingga 29 tahun pula ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas manakala lapan gadis berusia antara 14 hingga 20 tahun turut ditahan sebagai pembonceng.

“Operasi dijalankan selepas polis membuat pemantauan sejak dua bulan lalu mengenai kegiatan lumba haram dan samseng jalanan. Malah, salah seorang penunggang motosikal dikesan memiliki sebilah pisau ketika ditahan.

“Hasil pemeriksaan, polis percaya tindakan nekad mereka merempuh sekatan juga berpunca daripada faktor dipengaruhi alkohol dan kita turut merampas tin berisi gam daripada tiga penunggang motosikal," katanya.

Menurutnya, lima buah motosikal yang digunakan dalam lumba haram ini disita untuk siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu katanya, 69 buah motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 142 saman turut dikeluarkan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah untuk ujian air kencing dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. - Utusan Malaysia

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.