News Update :
Home » » Wanita maut dibakar kerana tolak pinangan seorang lelaki

Wanita maut dibakar kerana tolak pinangan seorang lelaki

Written By Admin on Tuesday, July 3, 2012 | 2:39 PM


KUALA LUMPUR 29 Jun - Gara-gara menolak pinangan seorang lelaki, seorang kerani bank yang baru dua minggu bertunang mati dibakar di hadapan koridor rumahnya di Pangsapuri Mesra Prima, Kampung Ampang Campuran, Ampang di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam, ketika mangsa, P. Yoga Ambiga, 27, baru pulang kerja dari sebuah bank di Medan Pasar.

Menurut seorang jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Efa, 32, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang makan di rumahnya sambil menonton televisyen sebelum terdengar jeritan seseorang sebanyak dua kali.

Dia yang pada mulanya membiarkannya kerana tidak menyangka sesuatu buruk berlaku dikejutkan dengan bunyi riuh-rendah orang ramai 10 minit selepas itu.

"Saya pun bergegas keluar dan melihat orang ramai mengerumuni mangsa di hadapan rumahnya dalam keadaan tertiarap dengan sebahagian badannya hangus," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Efa yang tinggal selang beberapa rumah dengan mangsa memberitahu, pihaknya percaya Yoga dipukul terlebih dahulu sebelum dibakar berikutan jeritan suara wanita itu hanya kedengaran sayup-sayup.

"Sekiranya mangsa dibakar terus sudah tentu dia sempat menjerit berulang kali meminta tolong, namun jeritan mangsa hanya kedengaran sepintas lalu," ujarnya.

Katanya, sebelum kejadian terdapat penghuni lain di tingkat bawah yang melihat kehadiran beberapa individu yang tidak dikenali di kawasan sekitar pangsapuri sejak pukul 7.30 malam.

Menurut kakak mangsa, P. Varalas Chumy, 35, yang tinggal serumah dengan adiknya itu, ketika kejadian dia baru pulang dari pasar malam namun hairan apabila melihat orang ramai berkumpul di hadapan kediaman itu.

"Sebaik sahaja tiba, saya terkejut apabila terdapat mayat dalam keadaan hangus akibat dibakar yang merupakan adik saya.

"Saya sedih dengan kejadian menimpa Yoga kerana dia tidak pernah menyakiti hati orang lain atau bermusuh dengan sesiapapun," katanya yang turut memaklumkan adiknya baru membeli rumah yang diduduki mereka itu sejak tiga bulan lalu.

Dia sekeluarga tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada rasa cemburu dan tidak puas hati seseorang terhadap mangsa.

"Ini berikutan, pada tahun lalu terdapat seorang lelaki yang sering menganggu mangsa selepas kecewa pinangan ditolak.

"Lelaki tersebut mengetahui Yoga mendaftar untuk berkahwin dengan orang lain pada 16 Jun lalu setelah gambar adik dan pasangannya dimuat naik menerusi laman sosial Facebook," katanya.

Katanya, Yoga dijangka melangsungkan majlis perkahwinannya mengikut upacara tradisional pada Oktober ini.

Sementara itu, tunang mangsa, Thurai Raj, 30-an, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) enggan mengulas kejadian tersebut kerana terlalu sedih.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Nazri Nawawi berkata, mangsa telah diserang dan dibakar sebaik sahaja tiba di hadapan rumahnya sebelum ditemui dalam keadaan tertiarap.

"Mangsa hangus akibat dibakar oleh suspek yang dipercayai lebih daripada seorang. Siasatan awal mendapati kejadian tersebut telah dirancang dan suspek mengambil peluang membunuh mangsa yang baru pulang dari kerja," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian disebabkan cemburu dan bukannya samun berikutan barang-barang berharga milik mangsa seperti dompet dan telefon bimbit tidak hilang.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bahan yang digunakan untuk membakar mangsa. - Utusan Malaysia

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.