SEPANYOL telah meletakkan satu tanda aras baru dalam peta
bolasepak dunia apabila mereka menjadi pasukan yang pertama memenangi
tiga kejuaraan penting berturut-turut - bermula dengan Kejuaraan Eropah
2008, Piala Dunia 2010 dan kini sekali lagi Juara Eropah 2012.
Dan mereka melakukannya secara realitinya hanya melalui dua buah
kelab yang bukan sahaja membekalkan tonggak-tonggak utama skuad
kebangsaan tetapi juga gaya serta teknik permainan.
Dua buah kelab itu ialah Real Madrid dan Barcelona. Walaupun David Silva, Juan Pablo Mata dan Fernando Torres muncul
sebagai penjaring dalam perlawanan akhir tetapi mereka bukanlah penentu
corak perlawanan Sepanyol. Yang menentukannya ialah pemain-pemain Real dan Barca.
Malah bayangkanlah Sepanyol memenangi kejuaraan ini dengan
menggunakan formasi yang sangat janggal serta tidak pernah diguna pakai
oleh mana-mana jurulatih pun dalam sejarah bolasepak dunia iaitu 4-6-0
(empat pertahanan; enam pemain tengah dan kosong penyerang).
Mereka hanya memasukkan Torres iaitu satu-satunya penyerang yang diiktiraf dalam perlawanan itu pada minit ke-75.
Sepanyol telah merintis atau membuka jalan baru bagaimana untuk
menjadi juara eropah dua kali dan juga juara dunia tanpa perlu
bergantung harap kepada penyerang tradisi.
Apakah ini bermakna, penyerang-penyerang tradisi seperti Torres,
Fernando Llorentte, Jesus Navas dan David Villa sudah tidak bermakna
lagi?
Jawapannya ialah tidak juga. Ini kerana Torres turut melakar sejarah
untuk dirinya sendiri - pertama sebagai pemain pertama menjaringkan gol
untuk dua perlawanan akhir kejuaraan eropah. Kedua mencatat sejarah
sebagai pemenang but emas (tiga gol) walaupun sekadar menjadi pemain
bangku simpanan sepanjang masa.
Ini hanya membuktikan satu perkara iaitu betapa berbakatnya dan sempurnanya pasukan Sepanyol.
Mereka menjadikan skuad Itali bagaikan pasukan budak sekolah
sepanjang perlawanan akhir Euro 2012 dan melenyapkan status bintang
Balotelli dalam sekelip mata. - mStar


0 comments:
Post a Comment