KOTA BAHARU: Perlawanan persahabatan antara
Kelantan dan kelab liga Inggeris Queens Park Rangers (QPR) di Stadium
Shah Alam pada 20 Julai ini, akan bermula pukul 9.15 malam.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa
berkataQPR bersetuju melewatkan sedikit sepak mula perlawanan itu bagi
memberi peluangpenonton beragama Islam menunaikan solat sunat Terawih
kerana umat Islam negaraini, djangka mula berpuasa pada keesokan
harinya.
Bercakap pada sidang media sempena Siri Jelajah QPR di sini hari ini,
Annuarberkata pengurusan stadium akan menyediakan lebih banyak tempat
untuk penonton menunaikan solat sunat Terawih di stadium pada malam
perlawanan itu.
"Pemilihan tarikh itu bukan sengaja dibuat pada malam pertama
Ramadan. Namun bagi memudahkan penyokong di Kelantan pergi ke Selangor
bagi menyaksikan perlawanan tersebut tanpa perlu bercuti.
"Kalau buat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV juga akan menimbulkan
masalah kerana tidak dapat menampung jumlah penonton yang ramai kerana
hanya mampu memuatkan kira-kira 15,000 orang," katanya.
Annuar berkata sebanyak 65,000 tiket dijangka dijual sempena
perlawanan berkenaan dan harganya lebih murah berbanding perlawanan
akhir Piala FA menentang Kelab Sime Darby pada Mei lepas, iaitu RM33,
RM53 dan RM73 bagi tempat terbuka.
Ditanya mengenai pemilihan Stadium Shah Alam sebagai venue perlawanan
tersebut, beliau berkata ia berikutan Stadium Nasional Bukit Jalil akan
digunakan skuad negara menentang Arsenal empat hari kemudiannya.
"Kita sebenarnya berhasrat mengadakan perlawanan tersebut di Stadium
Sultan Muhammad ke-IV, namun berikutan kemudahan daripada segi teknikal
yang kurang memuaskan, ia terpaksa ditukar ke tempat lain," katanya.
Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi latihan dan sesi ramah mesra
bersama kedua-dua pasukan bola sepak itu pada 19 Julai di pekarangan
Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Pasukan QPR dijangka menurunkan kesebelasan utama termasuk Andy
Johnson, Robert Green, Anton Ferdinand dan Djibril Cisse pada perlawanan
tersebut. - BERNAMA


0 comments:
Post a Comment