News Update :
Home » » 6 warga asing maut dalam kebakaran rumah teres

6 warga asing maut dalam kebakaran rumah teres

Written By Admin on Tuesday, July 3, 2012 | 4:59 PM


Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Enam warga asing, lima daripadanya merupakan warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia maut dalam dua kebakaran berasingan di Taman Puchong Perdana dan Kampung Baru Sungai Buloh di sini awal pagi tadi.

Dalam kebakaran di Taman Puchong Perdana pada kira-kira pukul 3 pagi, yang maut ialah lima warga Bangladesh termasuk pasangan adik-beradik yang terperangkap di dalam rumah teres dua tingkat yang mereka sewa.

Mereka dikenali sebagai Sarova Baboo, Ruman, Abdullah Al-Farhad serta pasangan adik-beradik tersebut iaitu Md Basir dan Md Farouk; kesemua mereka berumur antara 24 dan 40 tahun.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul memberitahu, rumah tersebut didiami tujuh warga Bangladesh dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Mereka yang terkorban dipercayai terperangkap di dalam dua bilik di tingkat atas rumah itu apabila tidak dapat membuka jeriji besi tingkap untuk menyelamatkan diri, katanya.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dan Subang Jaya bersama 15 anggota berjaya memadamkan api setengah jam selepas menerima laporan kebakaran pada 3.15 pagi.

Dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh pula, seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Asna, 55, pekerja sebuah kedai kopi maut dalam kebakaran kira-kira pukul 2 pagi di sebuah rumah papan setingkat di Jalan Welfare yang merupakan tempat tinggal para pekerja kedai itu.

Pemilik kedai kopi yang beroperasi 24 jam itu, P. Tharitheran, 66, berkata, semasa kejadian dia bersama anak lelakinya sedang berniaga di kedainya yang terletak bersebelahan rumah itu, apabila mereka tiba-tiba melihat kepulan asap keluar dari rumah tersebut.

"Ada dua pekerja wanita warga Indonesia yang bekerja dengan saya sedang tidur dalam rumah yang mempunyai empat bilik itu. Selepas ternampak kepulan asap itu, saya menjerit suruh mereka keluar. Tapi saya hanya nampak seorang dari mereka meluru keluar," katanya.

Tharitheran berkata, dia kemudian dimaklumkan oleh Yehani, 50, bahawa Asna yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak enggan keluar kerana sibuk menyimbah air untuk memadam kebakaran. - BERNAMA

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.