KUALA LUMPUR — Sebelas penumpang cedera, dua daripadanya parah,
selepas bas ekspres yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan
ke Alor Setar, Kedah di Kilometer 457.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bas
itu, yang membawa 28 penumpang dari terminal Pudu Sentral di sini,
terbabit dalam kemalangan itu ketika hujan lebat kira-kira 3 petang.
Beliau berkata pemandu bas itu mendakwa kemalangan berlaku setelah
dia cuba mengelak sebuah lori yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
"Ketika mengelak, pemandu bas ekspres itu gagal mengawal bas
menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan kanan lalu melanggar besi
pembahagi di tengah lebuh raya sebelum terbalik di laluan paling kiri,”
katanya ketika dihubungi.
Arjunaidi berkata bagaimanapun, beberapa penumpang bas itu menyatakan
pemandu berkenaan memandu dengan laju sebelum kemalangan berlaku.
Beliau berkata semua penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Sungai
Buloh untuk rawatan manakala pemandu bas berusia 30 tahun itu ditahan
untuk membantu siasatan, termasuk menjalani ujian air kencing dan darah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987
kerana memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kecederaan. —
BERNAMA


0 comments:
Post a Comment