KUALA LUMPUR — Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
dilihat sudah bersedia untuk tersenarai sebagai universiti penyelidikan,
kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, universiti itu difahamkan telah diaudit baru-baru ini
dan keputusan mengenai status universiti penyelidikan itu akan
diumumkan tidak lama lagi.
Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan
UIAM (IEC) 2012 di sini hari ini, beliau berkata UIAM telah mengambil
langkah yang sewajarnya untuk mencapai taraf universiti penyelidikan
itu.
Keunikan UIAM menggunakan pendekatan secara Islamik di mana ia
terkenal antaranya dengan Undang-undang Islam, Kewangan Islam, Hab
Penyelidikan Halal akan turut diambil kira dalam proses penilaian bagi
mencapai status tersebut, katanya.
Malaysia buat masa kini mempunyai lima universiti penyelidikan iaitu
Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains
Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
"Negara masih memerlukan banyak lagi universiti berstatus penyelidikan di masa hadapan,” kata Saifuddin.
Kongres kali ketiga bertemakan “Teknologi Inovatif Untuk
Kesejahteraan Ummah” bermula hari ini sehingga Khamis akan membentangkan
580 kertas kerja daripada peserta dalam dan luar negara antaranya
Jepun, Australia, Arab Saudi dan United Kingdom. — BERNAMA


0 comments:
Post a Comment