![]() |
| Di Matteo menjulang piala Liga Juara-Juara Eropah selepas Chelsea menumpaskan Bayern Munich 4-3 menerusi sepakan penalti |
MUNICH: Selepas menghadiahkan trofi terbesar buat Chelsea, masa depan pengurus sementara, Roberto di Matteo bersama kelab London itu masih menjadi tanda tanya.
Di Matteo (gambar) dilihat berbicara dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich sejurus menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti, awal pagi semalam, namun dia enggan mendedahkan apa yang dibincangkan mereka itu.
“Apa yang dibincangkan bersama pemilik kelab tidak boleh saya dedahkan kepada umum. Dia (Abramovich) kelihatan cukup gembira. Apa yang saya tahu, saya diberi kebenaran untuk bercuti selepas mengharungi tiga bulan cukup mencabar ini.
“Apa saja keputusan berhubung masa depan, saya tetap akan berasa gembira dengan keputusan kelab. Saya menghormatinya,” kata Di Matteo.
Bagi jurulatih Bayern, Jupp Heynckes, dia tahu apa yang perlu dilakukannya jika dia berada di tempat Abramovich.
“Jika saya menjadi pemilik Chelsea, saya akan beri dia (Di Matteo) kontrak tiga tahun,” kata Heynckes selepas perlawanan.
Abramovich membeli Chelsea pada 2003, namun kelab London itu gagal memenangi Liga Juara-Juara sehinggalah Di Matteo, 41, yang bergelar pengurus sementara selepas Andre Villas-Boas dipecat, melakukannya.
“Tiada siapa meramalkan semua ini. Pada tiga bulan terakhir dan menamatkan musim seperti ini, adalah sesuatu yang luar biasa. Bola sepak sama seperti kehidupan, tidak boleh diramal dan kadang-kadang agak gila. Ini pencapaian terhebat,” kata Di Matteo.
Chelsea turut menjuarai Piala FA tetapi sekadar menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam. Namun mereka tetap layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi tiket juara bertahan. – AP - Berita Harian


0 comments:
Post a Comment