News Update :
Home » » Terpaksa biar bekalan air dipotong untuk tampung pengajian anak

Terpaksa biar bekalan air dipotong untuk tampung pengajian anak

Written By Admin on Friday, October 5, 2012 | 10:46 AM


Gambar hiasan

TANJONG KARANG - Sepasang suami isteri sanggup berkorban dengan membiarkan bekalan air dipotong bagi memastikan yuran pengajian dua anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berjumlah kira-kira RM3,000 dapat dilangsaikan.
Pengorbanan mereka, bagaimanapun mendapat perhatian apabila Tabung Budi Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) hari ini menghulurkan bantuan bagi menyambung semula bekalan air kepada keluarga Mohd Saian Rojakun, 55, di Kampung Bukit Kerayong, Jeram dekat sini, tidak lama lagi.

"Saya sedar bil air tertunggak, namun terpaksa nekad tidak bayar kerana perlu melangsaikan yuran pengajian mereka yang lebih utama. Duit yang ada memang cukup untuk menjelaskan yuran mereka," kata Mohd Saian ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Saian yang bekerja sebagai petani dengan pendapatan RM300 sebulan, berkata keprihatinan Tabung Budi Peka itu sangat dihargai dan berjanji akan memastikan bil air akan dijelaskan seperti biasa.

Bapa kepada 10 anak itu berkata air hujan menjadi sumber bekalan air utama keluarganya selain mendapat ihsan daripada jiran selepas bil air yang tertunggak mencecah hampir RM200 sejak awal bulan lepas itu, tidak dibayar.
Rosnita Kusut, 41, dari Kampung Sawah Sempadan di sini, pula berkata pengalaman menyambut Aidilfitri yang lepas tanpa bekalan air mengajarnya upaya menghargai keperluan asas itu.
"Sangat susah kerana terpaksa minta pada jiran sejak bekalan air saya dipotong pada Ogos lepas dan mengganggu tugasan harian saya yang berniaga secara kecil-kecilan," katanya.

Turut menerima bantuan Tabung Budi Peka pada hari ini ialah seorang warga emas Hasbanni Zainal Abidin, 63, yang tinggal sendirian di Jeram; Zainudin Yusof, 40, seorang bapa tunggal dari Sungai Buloh dan Zulkarnain Akhbar, 43, dari Ujung Permatang, Kuala Selangor.

Sementara itu, Pengurus Tabung Budi Peka, Hashimah Che Mat Din berkata sejak Tabung Budi Peka ditubuhkan pada 2010, seramai 2,751 orang menyumbang pada tabung itu yang kini mempunyai dana hampir RM312,000.

Beliau berkata, sumbangan itu diterima daripada anggota Peka, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga selain anggota korporat dan individu.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghantar e-mail kepada shimapr@syabas.com.my atau mohdjaafar@syabas.com.my. - Bernama

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.