![]() |
| Penderitaan rakyat Rohingya |
SHAH ALAM – Barangan Misi Bantuan Kemanusiaan Tabung Rohingya anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang tiba di Myanmar 30 September lalu mula bergerak malam tadi dan dijangka tiba ke Pelabuhan Sittwe dalam wilayah Rakhine pada Ahad ini.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Rahim berkata, kumpulan utama misi bantuan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5 petang Sabtu ini.
Misi yang melibatkan 50 anggota terdiri daripada sukarelawan, doktor-doktor perubatan dan petugas media akan diketuai oleh Abdul Azeez sendiri.
“Setibanya di sana, kami akan berkampung di daerah Rakhine dalam empat atau lima hari sebelum berlepas semula ke Malaysia pada hari Jumaat minggu depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, kerajaan Myanmar meminta KP1M menggunakan kapal dagang bagi menghantar bantuan dan tidak menggunakan kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) seperti dalam rancangan awal.
Atas permintaan itu, kapal Simar Birma diguna bagi membawa 40 kontena dengan berat 500 metrik tan bantuan seperti makanan, perubatan dan keperluan lain kepada etnik Rohingya dan rakyat Myanmar lain yang terjejas. - Sinar Harian


0 comments:
Post a Comment