Nama, Emma Maembong, mungkin terlalu baru dalam industri seni. Namun, kehadirannya mula berjaya dihidu setelah muncul dalam drama bersiri, Kau Yang Terindah, di slot Akasia, TV3.
Mempertaruhkan rupa paras yang cantik, kehadiran gadis kacukan Melayu-Scotland ini turut menjadi buah mulut ramai apabila kerjaya seninya turut diiringi dengan kisah kontroversi.
Jika sebelum ini, dia dilabel sebagai 'minah propa' kerana membatalkan sesi fotografi yang diatur akhbar tempatan, kini nama Emma kembali menghangatkan atmosfera seni apabila beberapa keping gambar mesranya bersama kekasih mula bertebaran.
Tenang menjawab setiap persoalan yang diajukan, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, mengakui itu adalah dirinya dan ia adalah gambar lama.
"Gambar itu diambil ketika umur saya 16 tahun. Waktu itu, saya masih mentah lagi dan terpengaruh dengan rakan-rakan. Saya akui, saya pernah terkena kejutan budaya ketika di usia itu.
"Namun, saya bukanlah gadis sosial dan tidak pernah mengunjungi kelab malam. Saya hanya tahu, ingin pakai cantik-cantik dan pergi melepak dengan rakan-rakan. Pasal gambar itu, saya tahu silap saya.
"Namun, sejak usia 19 tahu, saya dah mula berubah. Saya tak pakai seksi-seksi lagi. Saya minta maaf jika ada pihak kurang senang dan tersinggung. Saya mohon agar perkara ini tidak dibangkitkan lagi," katanya dengan nada merendah diri.
Mengganggu emosi
Kesal dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencari jalan untuk menjatuhkan kredibilitinya sebagai pelakon baru, Emma tidak menyangka cabaran hidup sebagai anak seni mampu menitiskan air matanya.
Malah, Emma juga turut melahirkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak cuba memanipulasikan fakta dan keadaan.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Ia betul-betul mengganggu emosi saya sehingga membuatkan saya menangis sendiri. Saya memang sensitif dan tidak suka sekiranya hak peribadi saya dicerobohi oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Malah, ada juga yang cuba menjatuhkan saya dengan kisah-kisah yang tidak betul. Selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati dengan orang sekeliling agar perkara yang saya tidak berulang lagi. Pun begitu, saya tidak mahu menuduh sesiapa, biarlah Tuhan sahaja yang membalasnya," katanya yang menganggap perkara itu sebagai pengajaran untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Tidak mahu dilabel 'jual rupa' dan kontroversi, Emma tidak mahu ia akan memusnahkan karier yang terbina.
"Apa pun yang berlaku, tidak mematahkan semangat saya untuk terus berlakon. Saya akan buktikan saya mampu buat yang terbaik dan penonton boleh menilai dari segi bakat saya," katanya yang bakal muncul dengan drama terbaru, Rindu Rania. - Sinar Harian


0 comments:
Post a Comment