KUALA LUMPUR 1 Julai - Sekumpulan penjenayah bertindak nekad
memecahkan empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah
pasar raya dan melarikan wang tunai berjumlah RM1.17 juta dari
keempat-empat mesin itu di Wangsa Maju di sini awal pagi ini.
Kumpulan yang dipercayai seramai lapan orang itu memecah masuk pintu
pasar raya itu sebelum masuk ke ruang yang menempatkan enam unit mesin
ATM di tingkat satu, kira-kira pukul 3 pagi.
Menurut seorang pengawal keselamatan di situ, rompakan itu langsung
tidak disedari dua rakan setugasnya yang bekerja pada waktu malam namun
rakaman awal kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka masuk dari
tingkat bawah.
Pengawal keselamatan warga asing itu yang enggan dikenali berkata,
kumpulan tersebut memakai pakaian hitam dan menutup muka masing-masing.
Katanya, mereka kemudian memecah satu pintu di belakang pasar raya
dan naik menggunakan tangga serta terus menghala ke arah ruang yang
menempatkan mesin ATM.
“Selepas itu, tindak-tanduk mereka langsung tidak dirakam kerana CCTV
yang betul-betul di kawasan mesin terbabit telah dialihkan dipercayai
seawal pukul 4 petang sebelum kejadian.
“Ketika kejadian, dua rakan saya bertugas. Salah seorang daripada
mereka membuat rondaan manakala seorang lagi berada di bilik CCTV dan
mereka tidak menyedari rompakan itu," katanya kepada pemberita di tempat
kejadian hari ini.
Sementara itu, pekerja kedai menjual jamu, Hajar Ahlil, 46, berkata,
dia tidak perasan sebarang keganjilan sepanjang hari berniaga di situ
semalam, walaupun kedainya itu terletak hanya beberapa meter dari ruang
ATM terbabit.
“Saya tidak nampak sesiapa memusingkan CCTV itu petang semalam. Pagi
ini barulah saya tahu ATM itu dirompak, itu pun setelah saya nampak
ramai polis berada di kawasan ini," katanya sambil memberitahu pasar
raya ini ditutup sekitar pukul 12 tengah malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul,
Supritendan Othman Abu Bakar berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai
merancang rompakan itu dengan teliti dan kemungkinan ada di antara
mereka merupakan pakar mengendalikan mesin tersebut.
“Daripada kesan pecah pada ATM itu kita mendapati kumpulan terbabit
menggunakan alat pemotong besi dan gas Oxy-Acetylene untuk memotong
bahagian depan mesin itu untuk mengambil wang tunai.
“Sebelum melakukan jenayah itu, mereka menutup dua daripada mesin itu
dengan sejadah serta kertas bagi mengelak tindakan mereka dirakam CCTV
pada mesin ATM itu.
“Dua lagi mesin tidak diusik, berkemungkinan penjenayah itu tidak sempat atau mesin itu tidak mempunyai wang tunai," jelasnya.
Tambah Othman, polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 395 Kanun
Keseksaan dan polis sedang menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan
dengan kejadian sama yang kerap berlaku sekitar Lembah Klang.
Difahamkan, ini merupakan rompakan ATM terbesar sejak tahun ini dan melibatkan kerugian yang paling banyak di ibu negara. - Utusan Malaysia


0 comments:
Post a Comment