![]() |
| Gambar hiasan |
TUMPAT: Tindakan pantas seorang ibu mendukung tiga anaknya keluar dari rumah menyelamatkan mereka daripada maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Kok Keli, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Noraizan Abdullah, 38, baru selesai membasuh baju sebelum melihat kepulan asap dari bilik di rumahnya dan segera mengambil air di bilik air menggunakan gayung untuk memadamkan kebakaran itu, tetapi gagal.
Dia keluar dari rumah kerana menyangka tiga daripada sembilan anaknya, Che Mohd Azhari Che Ibrahim, 6; Che Mohd Hakimi Che Ibrahim, 3, dan Che Nornasuha, 1, bermain di luar rumah, tetapi tiga anaknya itu masuk ke dalam rumah selepas melihat kepulan asap.
Menurut Noraizan, dia panik seketika selepas melihat tiga anaknya tiada di luar rumah dan masuk semula ke dalam mencari mereka.
“Dalam keadaan api marak, saya lihat tiga anak saya di dalam rumah. Tanpa berlengah saya mendukung mereka ke luar rumah.
“Selepas menyelamatkan mereka, saya hanya mampu melihat rumah, kereta dan motosikal musnah dijilat api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Noraizan berkata, ketika kejadian suaminya tiada di rumah kerana bekerja, manakala enam lagi anaknya bersekolah.
“Walaupun tinggal sehelai sepinggang dan rumah yang terbakar baru tiga hari dibaik pulih, saya bersyukur anak saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Zakaria Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari sebelum tujuh anggota bomba dan dua jentera dihantar ke tempat kejadian.
“Api dipadamkan pada jam 1.20 tengah hari. Kerugian dianggarkan RM73,000, manakala punca kebakaran masih disiasat,” katanya. - Harian Metro


0 comments:
Post a Comment