News Update :
Home » » Schumacher patut bersara lebih awal - Stewart

Schumacher patut bersara lebih awal - Stewart

Written By Admin on Sunday, October 7, 2012 | 10:56 AM




RENTETAN pengumuman persaraan yang dibuat juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher dari sukan Formula One (F1) akhir musim ini, ia jelas melegakan bekas pelumba pasukan Stewart, Sir Jackie Stewart yang berpuas hati dengan keputusan itu.
Bagaimanapun Stewart yang mewakili  Stewart Grand Prix F1 dari 1996 hingga 1999 menyifatkan tindakan pelumba Jerman itu untuk bersara satu keputusan yang lewat.
Beliau percaya reputasinya bersama Jerman akan terjejas sekiranya masih kekal dalam perlumbaan.
“Sebenarnya reputasi Schumacher telah terjejas setelah kegagalan beliau sebelum ini.Jadi, semua orang akan memuji keputusan itu dan sepatutnya keputusan itu dilakukan lebih awal lagi,” kata Stewart.
Beliau menambah: “Spekulasi dalam komuniti F1 keseluruhan telah menjadi bahawa Michael harus bersara dan diharapkan tidak untuk tempoh yang singkat masa ini.”
“Dalam erti kata lain, saya minta maaf untuk memujuk Schumacher kembali pulang. Lagipun baru-baru ini dia mempunyai insiden buruk yang terlalu banyak.Jadi saya rasa sudah masanya untuk Schumacher bersara,” jelasnya lagi.
Bekas pelumba berusia 73 tahun itu berharap Schumacher akan mencari sesuatu yang boleh menggantikan keseronokkan beliau setelah bersara dalam dunia perlumbaan kereta F1.
“Saya berharap akan ada tempat untuk beliau menyertai sukan lain tanpa perlu memandu kereta,” katanya.
Pada masa sama, Stewart juga tidak bersetuju apabila terdapat pandangan yang mengatakan Schumacher adalah pelumba yang terbaik setelah memenangi tujuh gelaran dunia dan 91 perlumbaan.
“Saya rasa rekodnya tidak akan kekal selama-lamanya. Dia mungkin salah satu daripada pemandu terhebat, tapi dia bukan antara yang terbaik,” katanya.
Semalam, Schumacher mengesahkan beliau akan bersara buat kali kedua pada perlumbaan F1akhir musim ini.
Schumacher telah mengumumkan persaraannya pada 2006 sebelum kembali berlumba pada 2010 apabila Mercedes menawarkan kontrak selama tiga tahun.
Sehubungan itu, tempat Schumacher, 43, dalam pasukan Mercedes-Petronas akan diambil alih oleh seorang lagi bekas juara dunia iaitu pemandu McLaren, Lewis Hamilton mulai musim 2013.
Dipetik dalam BBC, pemandu kelahiran Jerman itu tetap dengan keputusan tersebut meskipun ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
“Saya mengambil keputusan untuk bersara pada penghujung musim 2012 ini.
“Walaupun saya rasa masih mampu untuk terus berlumba dengan pelumba terbaik dunia, namun kadangkala masa memaksa saya mengucapkan selamat tinggal," katanya.
Tambah Schumacher, “sejak beberapa bulan lalu, saya sendiri tidak pasti masih mempunyai motivasi dan tenaga untuk terus berlumba ataupun tidak.”
“Bukan cara saya untuk teruskan minat ini jika tidak mempunyai seratus peratus keyakinan dengan perlumbaan.
“Jadi dengan keputusan yang saya buat ini, saya benar-benar merasakan terlepas daripada segala beban yang ada," tegasnya lagi.
Dia menambah, “saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Daimler, Mercedes-Benz, pasukan, jurutera dan mekanik di atas kepercayaan yang diletakkan.”
“Apa-apa pun, sekarang saya mahu menumpukan perhatian sehingga penghujung musim dan seterusnya menikmati baki perlumbaan bersama anda semua," kata pelumba berusia 43 tahun itu yang mengalu-alukan penyertaan Lewis dalam pasukan Mercedes-Petronas.
Berdasarkan rekod pencapaian sepanjang kariernya, Schumacher telah memenangi 91 perlumbaan antara tahun 1991 hingga 2006.
Dalam tempoh itu, dia muncul juara dunia dua kali bersama pasukan Benettoniaitu 1994 dan 1995. Selepas menyertai Ferrari pada 1996, dia muncul juara dunia lima kali berturut-turut dari 2000 hingga 2004.
Sementara itu, Hamilton berkata, beliau tidak akan dapat mengisi tempat yang dikosongkan oleh Schumacher.
"Tiada siapa pun yang dapat mengisi tempatnya... dia adalah legenda perlumbaan F1.
"Malah dia akan dikenang sebagai pelumba yang telah membawa semula Ferrari sebagai juara dunia selepas menyertai mereka pada 1996 bersama-sama mentornya Ross Brawn, Jean Todt, Rory Byrne dan Paolo Martinelli,"  kata juara F1 2008 itu.
Dalam pada itu, pengendali pasukan Mercedes dan juga mentor Schumacher ketika pelumba itu masih bersama Ferrari, Ross Brawn berkata: "Saya tetap merasakan dia adalah pelumba terhebat yang pernah dilahirkan oleh F1.”
“Dan saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pelumba sepertinya,” katanya lagi. - Sinar Harian

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.