News Update :
Home » » Monisha jadi pengurus F1 wanita Sauber pertama

Monisha jadi pengurus F1 wanita Sauber pertama

Written By Admin on Monday, October 15, 2012 | 8:18 AM



Monisha Kaltenborn kelahiran India mengetuai pasukan Sauber.
MONISHA Kaltenborn menjadi wanita pertama mengetuai pasukan Formula One (F1) setelah dua tahun memimpin pasukan Sauber.

Beliau menggantikan pemiliknya Peter Sauber sebagai pengurus kanan berkuat kuasa serta-merta, mulai semalam.

“Saya sedar ini tanggungjawab besar untuk saya demi memajukan lagi pasukan Peter Sauber.

"Tapi, saya cukup gembira dengan lantikan ini dan saya akan sahut cabaran Peter untuk menaikkan nama Sauber,” kata Monisha menerusi satu kenyataan Sauber.

Sauber merupakan pasukan keempat tertua dalam dunia sukan F1.

Sauber melahirkan keyakinan dengan kebolehan Monisha.

Monisha, 41, berasal dari India menyertai syarikat sejak 2000 untuk menguruskan jabatan undang-undang.

Dia kemudian dilantik menjadi sebahagian ahli lembaga pengarah sebelum memegang jawatan ketua pegawai eksekutif Sauber Motorsport AG pada 2010.

Sementara itu, Sauber kekal sebagai presiden lembaga pengarah semua syarikat Kumpulan Sauber serta masih bertanggungjawab dalam pengurusan strategik.

"Sebenarnya hal ini telah diputuskan dari awal lagi. Tapi ketika itu belum masa terbaik untuk diumumkan.

"Sekarang adalah masa yang terbaik untuk kami berdua," kata Peter.

Tambah Peter: "Saya yakin Monisha memiliki kredibiliti untuk menjadi ketua pasukan berwibawa.

"Malah, saya turut optimis dia akan memastikan kedudukan syarikat terus meningkat. Ini penting buat saya,” katanya.

Dalam satu temu bual dengan CNN Jun lalu, Monisha berkata, beliau tidak pernah menjangkakan akan menceburi dunia sukan pemotoran.

"Banyak perkara berlaku secara kebetulan," katanya lagi.

Monisha berkata, "Minat saya dalam F1 adalah bersama dengan pasukan ini." - Sinar Harian

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.