News Update :
Home » » Filem baru Along dan Angah Raja Lawak, sinopsis Taikun

Filem baru Along dan Angah Raja Lawak, sinopsis Taikun

Written By Admin on Friday, October 5, 2012 | 11:16 AM



Along dan Angah Raja Lawak dalam Taikun
DEK populariti dan gandingan mantap menerusi filem Alamak Toyol tahun lalu, Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG) sekali lagi menggandingkan Along dan Angah Raja Lawak dalam filem terbaru terbitannya, Taikun.
Biarpun lahir dalam musim yang berbeza menerusi program Raja Lawak, namun keserasian antara Along dan Angah menjadi daya penarik yang cukup kuat sehingga pelbagai lapisan umur dapat menerima lakonan mereka.
Malah, menerusi Taikun, mereka sekali lagi berjaya menunjukkan keserasian yang baik walaupun membawa karakter sebagai gengster, namun masih ada lucunya, terutamanya melibatkan babak aksi.
Meskipun ada beberapa babak dipotong kerana terlalu ganas, namun lakonan mantap dari Along dan Angah bagai menutupi kekurangan tersebut.
Penonton pastinya akan merasa lucu melihat Angah melakukan babak aksi sendiri dan tidak akan kering gusi melihat Angah berlawan.
Ternyata, Ismail Bob Hashim meneruskan kecemerlangannya mengarah filem komedi dengan baik sekali. Namun, dek kerana banyak babak pergaduhan yang ganas, maka filem ini terpaksa diklasifikasikan untuk tonton 18 tahun ke atas.
Namun dengan populariti Along dan Angah, tidak mustahil filem ini mampu menarik golongan berumur 18 tahun ke atas datang menonton di pawagam.
Tidak banyak juga yang harus diperkatakan mengenai teknik kamera, sinematografi dan sebagainya. Tentu sahaja, sebagai seorang pengarah yang berpengalaman, Bob tahu untuk mengadun sebuah cerita yang baik untuk tontonan peminat.
Filem ini mengisahkan dua sahabat baik dikenali sebagai Tai (Angah) dan Kun (Along) yang mempunyai masalah dengan pihak berkuasa. Sifat mereka suka bergaduh dan mencuri menyebabkan mereka bertembung dengan ahli-ahli Geng Ros Hitam dan Tedung.
Disebabkan Tai dan Kun membelasah kedua-dua ahli geng dengan teruk, ketua Geng Pink, Manan dan ketua Geng Purple, Sarip merasa tertarik dengan kehebatan mereka berdua dan mengajak Tai dan Kun untuk menyertai geng mereka.
Sikap Tai dan Kun yang tamak menyebabkan mereka menerima pelawaan dua-dua geng tanpa pengetahuan ketua geng masing-masing.
Geng Pink dan Geng Purple pula adalah dua musuh ketat dan sering bergaduh. Mereka juga bersaing dalam perniagaan DVD cetak rompak. Kehadiran Tai dan Kun yang kelihatan hebat menyebabkan mereka mendedahkan segala kegiatan mereka dan mengharapkan pada Tai dan Kun untuk membantu mereka supaya menjadi lebih kaya.
Tapi dalam diam, ada dalang yang membocorkan semuanya dan Tai serta Kun dituduh sebagai dalangnya namun Sarip dan Manan tidak percaya. Siapakah dalang sebenarnya? Apakah yang akan terjadi pada Tai dan Kun? Semuanya akan terjawab dalam filem ‘Taikun’.
Selain Along dan Angah, filem ini turut membariskan pelakon naungan MIG yang lain seperti Alex Yanz, Zul Suphian, Mikael Andre dan Adey Syafrien. - Sinar Harian

Related Articles:

Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Berita Harian Online . All Rights Reserved.