![]() |
| Penganjur bersama barisan calon akhir AIM19 |
INSIDEN pemulangan trofi Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 18, tahun lalu, pastinya dikenang sebagai kisah paling memalukan sepanjang penganjuran anugerah berprestij itu.
Belajar dari kesilapan, AIM 19 yang bakal berlangsung 17 November ini melakukan beberapa perubahan agar ‘maruah’ majlis itu tidak terus tercalar.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim, bagi memastikan ketelusan dan keputusan yang tidak berat sebelah, tugas penghakiman hanya ditanggungjawabkan kepada individu yang terlibat dalam industri muzik tempatan.
“Seramai 57 juri telah dipilih daripada kalangan komposer, penulis lirik, pengarah muzik, penyanyi, penerbit album, pereka kulit album, pengarah muzik video dan jurutera muzik.
“Kesemua juri ini profesional dan menilai sesuatu kategori bersandarkan pengalaman mereka,” katanya ketika sidang media pengumuman senarai penuh pencalonan akhir AIM 19, kelmarin.
Komposer berpengalaman, Adnan Abu Hassan dipilih mengetuai urusan penjurian yang dilakukan pada 6 dan 8 September lalu.
Bagi mengelakkan kesilapan perkiraan markah seperti tahun lalu, jelas Rosmin, penganjur juga telah melantik juru audit baru iaitu KPMG, manakala pengurusan dan pentadbiran proses penghakiman diselia firma profesional bebas, Macomm Management Services Sdn Bhd.
“Tugas juru audit adalah untuk membandingkan kesemua markah diberikan setiap juri.
“Sekiranya markah yang diberikan seseorang juri itu tidak seimbang berbanding juri lain, automatiknya markah juri itu akan digugurkan,” katanya.
Calon kurang popular
Jika dilihat senarai pencalonan kali ini, banyak muka baru yang kurang dikenali tercalon dalam pelbagai kategori.
Antaranya ialah Shanel, ZE!, SalamMusik, Silent Death dan Prince of Pop.
Sebaliknya, kelibat penyanyi popular dan lagu yang dikategorikan mesra radio kebanyakannya tidak berjaya ke Top 5.
Tidak menafikan hal itu, jawab Rosmin, berkemungkinan lagu yang dimaksudkan tidak menepati kriteria ditetapkan.
“Perlu diingatkan majlis ini mengangkat kualiti bukannya populariti.
“Memang ada banyak lagu popular yang tercalon, tetapi mungkin belum cukup kuat untuk menambat hati juri,” katanya.
Noraniza Idris sah menang
Penganjuran AIM 19 juga pertama kalinya dalam sejarah menyaksikan seorang penyanyi mendominasi pencalonan sebuah kategori iaitu Noraniza Idris menerusi Lagu Pop Etnik Terbaik.
Kesemua lima lagu yang terpilih dinyanyikan Ratu Irama Malaysia ini dengan khidmat penulis lirik yang sama, Ahmad Fedtri Yahya.
Perbezaannya, cuma komposer yang berlainan sehingga menimbulkan persoalan kewajaran kategori ini dipertandingkan.
Menjelaskan perkara itu, kata Rosmin, kategori tersebut tidak digugurkan sebagai menghargai usaha komposer yang telah mencipta lagu berentak pop etnik.
“Cuma lima lagu itu yang menghantar pencalonan menunjukkan betapa kurangnya lagu sebegini dihasilkan.
“Walaupun penyanyi dan penulis liriknya sama, kita tidak boleh menafikan hak komposer untuk menerima pengiktirafan,” katanya.
AIM 19 akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, jam 8 malam dan turut disiarkan menerusi saluran Astro Ria. - Sinar Harian


0 comments:
Post a Comment