![]() |
| Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar tingkatan enam sebuah
sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan cedera selepas dikatakan
diserang sekumpulan lelaki di kawasan sekolah itu dalam kejadian 10.45
malam Jumaat.
Bapa seorang mangsa, ASP Zulkarnain Ismail dari Jabatan Pengurusan
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berkata anaknya dibelasah tiga
lelaki berumur lingkungan 20-an selepas cuba menyelamatkan rakan yang
dipukul di depan pejabat sekolah.
"Saya dimaklumkan anak saya (Muhammad Najib) bahawa kejadian berlaku
ekoran seorang pelajar tingkatan tiga tidak berpuas hati dengan teguran
kerana membuat bising yang dibuat seorang mangsa yang ketika itu
bertugas sebagai fasilitator bagi program yang dianjurkan pihak sekolah.
"Pelajar (tingkatan tiga) itu kemudian menghubungi abangnya yang
kemudian datang ke sekolah bersama dua lagi rakan sebelum membelasah
pelajar tingkatan enam berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Zulkarnain berkata anaknya serta seorang lagi rakan yang cuba
membantu Mohd Salman Mohd Ismail, 18, mengalami luka dan bengkak.
Sementara itu, Mohd Salman berkata ketika kejadian, beliau sedang
melihat aktiviti sekumpulan pelajar tingkatan tiga, sebelum seorang
suspek menghampiri dan menumbuknya bertubi-tubi.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Salman berkata seorang guru cuba
menyelamatkan beliau namun tiga lelaki tersebut terus membelasahnya.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Nilai dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. -BERNAMA


0 comments:
Post a Comment