KEPADA sesetengah golongan seni, muzik atau nyanyian bukan pertandingan mencari siapa paling hebat atau siapa paling ‘diva’. Berlainan pula bagi penyanyi bersuara lunak, Adele yang terus menerus ‘terbang tinggi’ diiktiraf menerusi pelbagai anugerah industri muzik.
Dari segi rekod, pencapaian penyanyi dan penulis lagu ini meletakkannya sebagai permata berharga pernah dihasilkan di Britain selepas The Beatles ‘The Paperback Writer’ menjadi kegilaan peminat dari serata dunia pada era 60-an.
Bukan saja Adele mengatasi idolanya, mendiang Amy Winehouse malah sejarah moden menyebut Amy berasa takut dengan kehadiran Adele.
Mark Ronson yang pernah berkolaborasi bersama Amy dalam satu temu ramah menyatakan: “Untuk tempoh agak singkat, Amy melalui keadaan agak tegang.
“Hanya Tuhan saja tahu mengapa Amy berada dalam keadaan tidak menentu. Saya rasa faktor Adele ‘ada’ menjadikannya takut. Sekalipun Amy mengikuti perkembangan dan meminati Adele tetapi dia sendiri berasa tidak tenteram, kompetitif dan kecewa kerana Adele seperti tidak dapat disekat!,” katanya.
Bagaimanapun, Ronson tidak berkesempatan terus bekerjasama dengan Amy lagi selepas itu.
“Hubungan kami terputus sejak itu. Sebelum kami dapat menyiapkan bahan dan proses album baru, semuanya sudah terlambat,” katanya mengingati semula peristiwa itu.
Amy ditemui mati di rumahnya di London pada Julai lalu pada usia 27 tahun.
Adele penyanyi kelahiran utara London digelar ‘Tottenham Diva’ dengan nama penuhnya, Adele Laurie Blue Adkins, baru-baru ini meraih enam trofi Anugerah Grammy 2012.
Dalam perkembangan terbaru, dia meraih dua kejayaan lagi menerusi Ivor Novello, pengiktirafan satu penulisan lagu yang terus melebarkan kejayaannya terhadap anugerah muzik. Bagaimanapun, Adele gagal meraih kategori album terbaik dan lagu terbaik.
Penyanyi berusia 24 tahun itu meraih anugerah Ivoe Novello dalam kategori lagu paling banyak dipersembahkan iaitu Rolling in the Deep dan penulis lagu terbaik sepanjang 2011.
Bukan itu saja, Adele juga penyanyi Britain berusia bawah 30 tahun meraih pendapatan tertinggi mencecah RM100 juta pada 2011 berbanding RM27 juta diraih tahun sebelumnya, semuanya kerana album Adele 21 yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.
Bukan itu saja, populariti dan bakat dimiliki oleh Adele meletakkannya sebagai pilihan utama untuk menyiapkan runut bunyi filem James Bond terbaru yang dijangka dihasilkan pada penghujung tahun ini.
Lagipun, Adele, baru-baru ini menjalani pembedahan ‘vocal cord microsurgery’, menyatakan mahu berehat beberapa ketika nampaknya seperti bersemangat semula.
Mengapa?
Adele sentiasa dikelilingi orang bersemangat tinggi, memiliki inspirasi tinggi dan matang sekali gus mendorongnya supaya menjalani kehidupan positif dan menjadi ‘penyanyi’ sebenar. Cerita menarik yang menjadi pendorong terkuat terus berkarya merubah dirinya adalah teguran dibuat penyanyi Culture Club, Boy George.
Boy George dikenali dengan lagu Karma Chameleon satu ketika dulu, memberi beberapa sesi kaunseling kepada Adele yang mahukannya berhenti merokok dan sejak itu Adele kembali mekar semula seperti dedaun tumbuh pada musim bunga.
George menegur kerana tabiat buruk Adele merugikan menjejaskan suara dan terpaksa membatalkan pelbagai jelajah ketika peminat menaruh harapan tinggi mahu melihatnya menjayakan pelbagai konsert antarabangsa.
Kata George: “Sebagai seorang penyanyi, merokok bukan satu idea yang bagus, saya sendiri berhenti dan suara saya lebih ‘jazzier’ sekarang.”
Adele berkata sebelum ini: “Saya sudah berhenti merokok, minuman alkohol, ambil makanan berempah dan mengambil kafein,” kata penyanyi memiliki suara jenis ‘contralto’ atau suara nyanyian klasikal ini. - myMetro


0 comments:
Post a Comment